LONDON: Manchester United dilaporkan meningkatkan usaha memujuk Zinedine untuk Zidane menggantikan Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford.
Tekanan semakin meningkat buat Solskjaer selepas United menduduki tangga keenam Liga Perdana Inggeris, terutama selepas kekalahan memalukan 0-5 kepada Liverpool dan 0-2 di tangan Manchester City di laman sendiri.
Menurut akhbar Britain, Sunday Times, United sedang berusaha memujuk Zidane untuk menggantikan pengendali dari Norway itu.
Zidane, 49, ketika ini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas meletak jawatan sebagai pengurus Real Madrid buat kali kedua pada hujung musim lalu.
Rekod legenda Perancis itu bersama Real sangat menakjubkan dengan merangkul tiga kejuaraan Liga Juara-Juara, selain dua gelaran La Liga.
Zidane dikatakan tidak yakin apakah menjadi pengurus United adalah keputusan yang tepat.
United berharap hubungan baik Zidane dengan Cristiano Ronaldo dan Raphael Varane dapat meyakinkannya bahawa Old Trafford adalah pilihan yang tepat.
Selain Zidane, turut disebut-sebut sebagai calon pengganti Solskjaer adalah pengurus Paris Saint-Germain, Mauricio Pochettino jika di tidak lagi bersama gergasi Ligue 1 itu. – AGENSI