MANCHESTER: Penyokong Manchester United berang dengan aksi yang ditunjukkan Harry Maguire dan Luke Shaw ketika mereka tumpas 0-2 kepada musuh sebandar, Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris sebentar tadi.
Ini kali keempat berturut-turut Red Devils keciciran mata di Old Trafford, malah kekalahan kedua berturut-turut di laman sendiri selepas dimalukan 5-0 oleh Liverpool, 24 Oktober lalu.
Selepas mempamer aksi cemerlang ketika membenam Tottenham 3-0 di tempat lawan minggu lalu, peminat mengharapkan United akan mula melakar kebangkitan.
Malangnya, kesilapan amatur yang dilakukan pertahanan skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer sekali lagi menghukum mereka.
Pintu gol United bocor seawal minit ketujuh selepas tendangan lemah yang dilakukan Joao Cancelo ditolak Eric Bailly ke gawang sendiri.
Bernardo Silva kemudian menghukum kawalan lemah Maguire dan Shaw apabila mudah menolak bola untuk gol kedua City pada waktu kecederaan babak pertama.
Cristiano Ronaldo yang bergandingan dengan Mason Greenwood juga agak ‘sunyi’ daripada melakukan percubaan ke gawang City.
Ini kekalahan kelima United dalam 11 perlawanan liga musim ini. – AGENSI