LONDON: Tonggak pertahanan England, Harry Maguire menegaskan, sambutan yang dilakukan ketika England membelasah Albania 5-0 dalam kelayakan Piala Dunia 2022 semalam tidak ditujukan kepada sesiapa.
Pemain berusia 28 tahun itu dikritik hebat kerana tindakannya menutup telinga ketika meraikan gol pembukaan Three Lions yang disifatkan seperti isyarat ‘diam’.
Legenda Manchester United, Roy Keane menyifatkan tindakan Maguire sebagai ‘memalukan’, manakala bekas penyerang England, Ian Wright menasihati pemain itu supaya tumpukan sahaja kepada permainan.
“Tidak, sambutan itu tidak ditujukan kepada sesiapa. Kelihatan seperti saya meletakkan tangan di telinga, tetapi tidak.
“Saya kapten Manchester United, sudah tentu saya akan mendapat kritikan apabila pasukan tidak bermain dengan baik.
“Saya sudah menjangkakan perkara itu tetapi sudah tentu ia tidak ditujukan kepada sesiapa pun,” kata Maguire.
Kemenangan besar di Wembley meletakkan England sebelah kaki ke Piala Dunia di Qatar tahun depan, sekali gus meredakan kekecewaan selepas sekadar seri 1-1 dengan Hungary dalam aksi terakhir.
Maguire menanduk gol pembukaan England seawal minit kesembilan, manakala ketua pasukan, Harry Kane meledak hatrik pada minit ke-18, 33 dan 45. Turut mencetak nama sebagai penjaring penolong kapten, Jordan Henderson.
Selepas mengharungi sembilan perlawanan, England masih belum kalah dan melakar tujuh kemenangan untuk mengungguli Kumpulan I menerusi 23 mata, tiga mata mengatasi Poland yang membelasah Andorra 4-1 dalam satu lagi perlawanan.
Sejurus tamat permainan, Maguire yang beraksi hambar bersama United ‘diserang’ di media sosial, dan Keane antara yang lantang menyelar tindakan pemain itu.
“Sambutan itu agak memalukan. Maguire telah ‘memalukan’ kelabnya dalam kekalahan mengerikan Liga Perdana kepada Leicester, Liverpool dan Manchester City.
“Dia mempamer aksi buruk sejak beberapa bulan lalu bersama Manchester United.
“Apakah dia fikir, hanya kerana menjaringkan gol hari ini boleh tutup mulut pengkritik. Memalukan,” kata Keane kepada ITV ketika mengulas aksi babak pertama. – AGENSI