LONDON: Biarpun baru setahun tiba di Anfield, namun Liverpool sudah boleh mencari pengganti Thiago Alcantara yang mungkin kembali ke Barcelona.
Pemain tengah berusia 30 tahun itu berada dalam senarai ‘dikehendaki’ untuk pulang ke Camp Nou, yang baru diambil alih oleh Xavi Hernandez.
Kelmarin, Xavi turut memanggil pulang pertahanan veteran Brazil, Dani Alves, 38 secara percuma dalam misi menguatkan Barcelona.
Dia kemudian memberitahu pengurusan tertinggi agar mendapatkan Thiago, yang menyarung jersi pasukan itu dari 2009 hingga 2013 sebelum menyertai gergasi Jerman, Bayern Munich dari 2013 hingga 2020.
Selain Thiago, Xavi juga dikatakan berminat untuk mendapatkan pemain sayap England, Raheem Sterling dari Manchester City.
Turut berada dalam senarai pengendali baharu Barcelona adalah trio Chelsea, Callum Hudson-Odoi, Christian Pulisic dan Hakim Ziyech.
Biarpun memiliki nama besar dan antara perancang utama terbaik dunia ketika menyarung jersi Bayern, namun karier Thiago di Liverpool sering dihimpit kecederaan.
Reds agak keberatan untuk melepaskan pemain berpengalaman itu kerana mereka bakal kehilangan Mohamed Salah, Sadio Mane dan Naby Keita yang beraksi dalam Piala Negara-Negara Afrika dari 9 Januari hingga 6 Februari tahun depan.
Bagaimanapun peluang kembali bekerjasama dengan bekas rakan sepasukan yang amat dihormati, Xavi mungkin sesuatu yang sukar ditolak Thiago, yang masih memiliki kontrak tiga tahun di Anfield.
Reds yang turut kehilangan pemain tengah Belanda, Georginio Wijnaldum yang berhijrah ke Paris Saint-Germain musim ini mungkin beralih kepada skuad bawah 23 kelab untuk mengisi kekosongan.
Tyler Morton, 19, antara yang menjadi tumpuan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp untuk diserapkan dalam skuad senior.
Klopp juga masih memikirkan keperluan ‘memburu’ pemain dalam pasaran Januari nanti. – AGENSI