PETALING JAYA: Selepas layak ke separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama sejak 29 tahun, tidak memiliki penyokong di stadium sendiri apabila berdepan Melaka United esok satu kerugian besar buat Kuala Lumpur City (KL City).
Bagaimanapun, skuad The City Boys akur dengan harga tinggi yang terpaksa dibayar gara-gara tindakan penyokong menyerbu padang ketika meraikan kejayaan bersejarah menewaskan Selangor pada suku akhir, Khamis lalu.
Dalam keadaan Malaysia belum bebas daripada pandemik Covid-19 dan perlawanan berlangsung di bawah prosedur operasi standard (SOP) sangat ketat, insiden di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu tidak boleh diterima.
“Kami menerima keputusan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) selepas siasatan dilakukan terhadap insiden tersebut.
“Dalam situasi Covid-19 tidak menentu, semua pihak perlu mematuhi SOP ditetapkan kerana kesihatan adalah keutamaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard kepada Mingguan Malaysia.
Kesal dengan apa yang berlaku, Stanley berharap penyokong lebih berdisiplin pada masa akan datang kerana ketiadaan mereka satu kerugian buat pasukan.
“Kehadiran penonton ke stadium pasti memberi perbezaan kerana mereka menaikkan semangat pemain,” katanya.
Keputusan MFL mengarahkan separuh akhir pertama Piala Malaysia diadakan secara tertutup mengundang kecewa penyokong KL City.
“Sudah 30 tahun tak masuk separuh akhir, sudah masuk kena ban (larang),” tulis pengguna Facebook, Ah Zhong di media sosial KL City.
“Simpan sikit ‘bijak’ tu. Jangan tayang sangat, mendapat,” tulis June Kasbolah di Utusan Online.
“Biasanya perangai macam ini bukan penyokong tegar tetapi penyokong bermusim,” kata Azwan Mohd.
KL City yang menyingkirkan juara 33 kali, Selangor secara agregat 3-0 akan bertandang ke Stadium Hang Jebat, Melaka untuk aksi timbal balik Jumaat depan.