KUALA NERUS: Terengganu FC membawa bekalan tipis dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia apabila mengatasi Sarawak United 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, sebentar tadi.
Keputusan itu bagaimanapun belum selamat buat skuad Penyu yang membenarkan Sarawak United membawa pulang satu gol berharga dari tempat lawan apabila beraksi pada suku akhir kedua, Khamis ini.
Bintang Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim terlebih dahulu menceriakan 8,700 penyokong Terengganu FC hasil rembatan deras dari luar kotak penalti menewaskan Mohd. Sharbinee Allawee pada minit ke-17.
Kelebihan itu tidak bertahan lama selepas Shahrul Nizam Roshasni, tertanduk bola hantaran Tommy Mawat Bada ke dalam pintu gol sendiri pada minit ke-22.
Memasuki minit ke-51, Terengganu FC kembali mendahului hasil jaringan Mohd. Faiz Nasir yang menyambar hantaran ke belakang oleh Mintah untuk menewaskan Sharbinee buat kali kedua.
Hasrat tuan rumah menambah gol tidak berhasil apabila percubaan Engku Nur Shakir Engku Yacob (m-69) serta sepakan percuma Lee Tuck (m-89) masing-masing terkena palang.