LONDON: Ole Gunnar Solskjaer mungkin membimbing Manchester United dalam perlawanan terakhirnya semalam selepas kesabaran ahli lembaga pengarah kelab tiba di kemuncak.
Pemilik United, keluarga Glazer memanggil satu mesyuarat tergempar sejurus selepas kekalahan memalukan 4-1 kepada Watford di Vicarage Road.
Kekalahan kelima musim ini meletakkan Red Devils di tangga ketujuh liga dengan 17 mata, 12 mata ditinggalkan pendahulu, Chelsea.
Sejurus tamat perlawanan, kakitangan kejurulatihan mula mengucapkan selamat tinggal kepada pemain kerana menjangkakan Solskjaer akan dipecat dalam tempoh 48 jam.
United dikatakan cuba meyakinkan Zinedine Zidane untuk mengambil alih pasukan biarpun legenda Perancis itu keberatan untuk datang ke Old Trafford pada pertengahan musim.
Brendan Rodgers masih menjadi opsyen Red Devils, namun jurulatih kelahiran Ireland itu sendiri sedang bergelut dengan prestasi selepas Leicester tewas 0-3 kepada Chelsea semalam dan terjerumus ke tangga ke-12.
Sejurus tamat perlawanan di Watford, Solskjaer enggan menjawab soalan mengenai masa depannya, namun mengakui kekalahan terbaharu menguatkan lagi spekulasi.
“Saya sudah bekerja untuk kelab dan bersama kelab selama 18 tahun.
“Kami mempunyai komunikasi yang baik, dan jika kelab memikirkan tentang mahu melakukan sesuatu, ia antara saya dan kelab,” katanya.
United kini tewas empat daripada lima perlawanan terakhir Liga Perdana, malah telah melepaskan 16 gol, rekod pertahanan terburuk dalam kalangan 10 pasukan teratas.
Difahamkan, United perlu membayar pampasan 7.5 juta pound (RM42.19 juta) jika memecat Solskjaer. – AGENSI