LAUSANNE: Robert Lewandowski berpeluang mengekalkan anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2021 selepas sekali lagi dinamakan sebagai calon dalam senarai pendek 11 pemain bersama Karim Benzema dan Jorginho.
Bagaimanapun, Lewandowski bakal menerima saingan sengit apabila Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Mohamed Salah, Kylian Mbappe, Neymar dan N’Golo Kante yang turut tercalon dalam perebutan anugerah berkenaan.
Selain itu, Erling Haaland daripada Borussia Dortmund, Kevin De Bruyne (Manchester City) melengkapkan senarai 11 pemain tersebut.
Dalam pada itu, terdapat tujuh calon untuk Anugerah Jurulatih Lelaki Terbaik yang dibarisi pengendali City, Pep Guardiola, dan jurulatih Itali, Roberto Mancini, yang membawa pasukannya mengecapi kegemilangan Euro 2020.
Hansi Flick, yang turut dicalonkan selepas kejayaan besar bersama Bayern sebelum mengambil alih jawatan melatih Jerman, akan bersama-sama Thomas Tuchel (Chelsea), Diego Simeone (Atletico Madrid) dan pengurus baharu Tottenham, Antonio Conte.
Lionel Scaloni yang membimbing Argentina menjuarai Copa America pula melengkapkan senarai itu.
Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, Gianluigi Donnarumma (PSG), Edouard Mendy (Chelsea), Manuel Neuer (Bayern) dan kapten Leicester City, Kasper Schmeichel, akan bersaing merebut Anugerah Penjaga Gol Lelaki Terbaik.
Pemenang dipilih oleh kapten dan jurulatih semua pasukan kebangsaan seluruh dunia selain undian dalam talian oleh peminat dan wartawan terpilih.
Tiga nama finalis setiap kategori akan didedahkan awal Januari nanti dengan majlis akan diadakan secara maya dari ibu pejabat FIFA dekat Zurich pada 17 Januari.
Majlis Ballon d’Or pula akan berlangsung secara berasingan di Paris pada 29 November. – AGENSI