PETALING JAYA: Pemain No. 159 dunia, Yeoh Seng Zoe mengejutkan pilihan utama, Luka Wraber untuk mengetuai kemaraan tiga wakil Malaysia ke pusingan kedua kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Hungary di Budaors, awal pagi tadi.
Berdepan pemain berpengalaman Austria, Wraber, 31, Seng Zoe tidak gentar ketika mencatat kemenangan 21-18, 21-17.
Pemain profesional berusia 24 tahun itu kini akan menentang Adi Pratama dari Indonesia malam ini dalam misi memburu tiket suku akhir.
Cabaran Malaysia juga diteruskan dua beregu lelaki Justin Hoh-Ong Tzen dan Mohd. Fazriq Razif-Wong Vin Sean.
Justin-Tzen Yi mudah menyingkirkan pasangan Switzerland, Yann Orteu-Minh Quang Pham 21-12, 21-15 untuk menempah pertemuan dengan pilihan keempat dari Bulgaria, Ivan Rusev-Iliyan Stoynov.
Mohd. Fazriq-Vin Sean pula menumpaskan Milan Dratva-Marian Liptak dari Slovakia 21-7, 21-18 untuk berdepan beregu Scotland, Joshua Apiliga-Callum Smith dalam perebutan tiket ke suku akhir
Terdahulu, cabaran Fazriq dalam saingan perseorangan lelaki berakhir dengan kekalahan 12-21, 11-21 kepada Mathias Kicklitz dari Jerman.