PETALING JAYA: Pasukan paling berjaya dalam sejarah bola sepak tanah air dengan memiliki 33 kejuaraan Piala Malaysia, enam liga utama dan lima Piala FA, namun Red Giants sudah terlalu lama sepi daripada kejayaan hingga disamakan dengan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.
Kekalahan 0-2 kepada Kuala Lumpur City (KL City) pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Petaling Jaya kelmarin meletakkan misi mereka untuk memburu sekurang-sekurangnya satu trofi musim ini juga tampak semakin sukar.
Tidak pernah berdepan isu tunggakan gaji, sudah beberapa kali bertukar jurulatih dan terbaharu mendapat ‘DNA’ Jerman, Karsten Neitzel, namun Selangor masih gagal mendapatkan keputusan cemerlang.
Mereka menutup kempen Liga Super 2021 di tangga kelima, kali terakhir menjuarai trofi utama adalah Piala Malaysia pada 2015, malah tidak pernah menjuarai liga sejak 2010.
Sebagai perbandingan, United adalah pasukan paling banyak menjuarai Liga Perdana dengan 20 kejuaraan, namun kali terakhir memenanginya pada musim 2012-2013.
Dibimbing legenda kelab, Ole Gunnar Solskjaer, Red Devils kini menghuni tangga keenam liga, dan kejuaraan besar terakhir yang dimenangi pasukan itu adalah Liga Europa musim 2016-2017.
Neitzel mengakui, kehilangan pemain seperti Brendan Gan, Ifedayo Olusegun dan Safuwan Baharudin menyebabkan Red Giants gagal menyerlah terutama dalam kempen Piala Malaysia, namun beliau belum mengibar bendera putih dan berjanji akan bangkit dalam suku akhir kedua di Cheras, Khamis ini.
“Kalau kami ada pemain berpengalaman, persembahan pasti akan lebih stabil dan konsisten,” katanya.