Selangor kekalkan 'DNA' Jerman - Utusan Malaysia

Selangor kekalkan ‘DNA’ Jerman

MICHAEL Feichtenbeiner dilantik sebagai Ketua Jurulatih Selangor musim 2022, menggantikan Karsten Neitzel yang gagal membawa Red Giants ke separuh akhir Piala Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun sudah dua tahun ‘DNA’ Jerman gagal menjelmakan trofi, namun Sela­ngor tetap mempercayai pengendali dari negara itu untuk membimbing mereka musim depan.

Feichtenbeiner, 61, pernah membimbing skuad utama Selangor selepas pemecatan B. Sathianathan, September tahun lalu sebelum Neitzel dilantik dua bulan kemudian.

“Kami telah melihat kebolehan Feichtenbeiner semasa berkhidmat sebagai ketua jurulatih sementara musim lalu.

“Dia mampu mengetengahkan pemain muda yang boleh bekerjasama dengan senior, selain peralihan pantas di antara menyerang serta bertahan selari dengan visi kami melahirkan pasukan yang mampu menjuarai saingan di masa hadapan.

“Kami yakin dengan keputusan ini dan di bawah pimpinan beliau, kita menuju ke arah yang lebih baik dalam mencapai kejayaan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar semalam.

Feichtenbeiner memulakan karier sebagai jurulatih remaja VfB Stuttgart sebelum menyertai kelab Switzerland, BSC Old Boys Basel sebagai ketua jurulatih.

KARSTEN NEITZEL

Sebahagian besar karier kejurulatihannya adalah di Jerman kerana beliau dilahirkan di Stuttgart.

Antara pencapaian signifikan Feichtenbeiner termasuklah dalam Piala DFB 2019-2020 bersama kelab Bundesliga 2 (liga bola sepak divisyen dua Jerman), Stuttgarter Kickers.

Pasukannya mengalahkan tiga kelab Bundesliga iaitu Borrusia Dortmund, Arminia Bielefeld dan SC Freiburg dalam perjalanan ke separuh akhir di mana mereka akhirnya disingkirkan Werder Bremen.

Beliau juga pernah menjadi Ketua Jurulatih MPPJ FC (sudah dibubarkan) pada 2005-2006 dan menyelamatkan pasukan itu da­ripada tersingkir ke Liga Perdana sebelum kembali ke Jerman.

Sementara itu, Neitzel belum membuat keputusan sama ada kekal bersama Red Giants atau sebaliknya kerana masih memiliki kontrak sehingga 2022.

Jurulatih berusia 53 tahun itu dikritik hebat selepas Selangor gagal ke separuh akhir Piala Malaysia setelah tewas secara agregat 3-0 kepada Kuala Lumpur City.

Red Giants juga gagal meme­nuhi sasaran untuk memenangi sekurang-kurangnya satu trofi setelah sekadar menduduki tangga kelima dalam Liga Super.

Kegagalan itu menyebabkan kemarau kejuaraan Selangor berpanjangan, dan kali terakhir mereka menjulang trofi adalah Piala Malaysia 2015.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya