IPOH: Selangor FC bangkit pada babak kedua untuk menumpaskan Perak FC 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Perak di sini hari ini.
Selaku naib juara kumpulan, Red Giants yang sudah pun mengesahkan tiket suku akhir lebih awal akan menentang juara Kumpulan A, Kuala Lumpur City (KL City) di suku akhir.
Wan Zack Haikal muncul wira juara Piala Malaysia 33 kali ini itu apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan pelawat pada minit ke-84.
Sebelum itu, Sean Selvaraj menyamakan kedudukan buat Selangor pada minit ke-71.
Begitupun sebelum dua gol itu dijaringkan, pasukan tuan rumah berjaya mengimbangi permainan dengan aksi bertenaga dan tampak mampu mengutip mata pada perlawanan terakhir mereka.
Royizzat Daud meletak tuan rumah di depan apabila menanduk bola ke gawang lawan pada minit ke-10, berikutan kesilapan benteng lawan.
Selangor cuba bangkit menggandakan asakan tetapi mendapati benteng tuan rumah yang kental bertahan, amat sukar untuk ditembusi.
Skrip babak kedua juga sama dengan Selangor berusaha memecah kebuntuan.
Usaha mereka akhirnya berjaya apabila Sean dan Wan Zack Haikal menewaskan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy untuk pelawat mengutip mata penuh. – UTUSAN ONLINE