LONDON: Cristiano Ronaldo menulis mesej penuh emosi buat Ole Gunnar Solskjaer di Twitter selepas bekas pengurus Manchester United itu dipecat semalam.
Ronaldo, 36, menggunakan media sosial untuk mengucapkan terima kasih kepada Solskjaer kerana peranan yang dimainkan olehnya ketika mereka menjadi rakan sepasukan, selain penglibatannya membawa dia pulang ke Old Trafford.
Solskjaer, 48, dipecat kurang 24 jam selepas United tewas 1-4 di Watford dan sebelum itu mereka turut dimalukan 0-5 oleh Liverpool, selain kalah 0-2 kepada Manchester City di laman sendiri.
Ronaldo adalah rakan sepasukan Solskjaer ketika kali pertama dia beraksi di bawah kendalian Alex Ferguson.
He’s been my striker when I first came to Old Trafford and he’s been my coach since I came back to Man. United. But most of all, Ole is an outstanding human being. I wish him the best in whatever his life has reserved for him.
Good luck, my friend!
You deserve it! pic.twitter.com/pdm7RXr2RX— Cristiano Ronaldo (@Cristiano) November 22, 2021
“Dia adalah penyerang saya ketika kali pertama saya datang ke Old Trafford dan menjadi jurulatih saya sejak kembali ke Manchester United.
“Bagaimanapun apa yang paling penting, Ole manusia hebat. Saya mendoakan yang terbaik buatnya selepas ini. Semoga berjaya, sahabatku! Anda berhak mencapainya,” tulis Ronaldo dalam Twitter.
Bekas pemain tengah United, Michael Carrick yang juga staf kejurulatihan pasukan Solskjaer akan mengambil alih tugas sementara sehingga kelab melantik pengurus baharu.
United secara realistiknya terkeluar dari persaingan merebut gelaran Liga Perdana Inggeris selepas 12 mata ditinggalkan pendahulu, Chelsea dan berdepan tugas sukar apabila bertandang ke Villarreal untuk aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini. – AGENSI