BERGAMO, Itali: Ole Gunnar Solskjaer membandingkan pengaruh Cristiano Ronaldo bersama Manchester United dengan legenda bola keranjang, Michael Jordan selepas bintang Portugal itu meledak dua gol ketika mengikat Atalanta 2-2, pagi tadi.
Buat kali ketiga dalam empat perlawanan Liga Juara-juara sejak kembali ke Old Trafford, Ronaldo menyelamatkan United menerusi gol lewat permainan apabila melakukan voli di minit ke-91 dan menyelamatkan satu mata di Bergamo.
Penyerang berusia 36 tahun itu juga menjaringkan gol di hujung permainan ketika menang ke atas Villarreal di laman sendiri, dan bangkit dari ketinggalan 0-2 menentang Atalanta untuk menang 3-2 pada aksi pertama, dua minggu lalu.
Bagaimanapun aksi kurang bertenaga Red Devils yang diselamatkan oleh penyudah baik Ronaldo tidak mengurangkan tekanan Solskjaer.
“Ronaldo antara pemain terbaik pernah beraksi dalam sukan ini.
“Saya yakin ia perasaan yang sama buat Bulls ketika memiliki Michael Jordan.
“Jika anda mahu bola sampai kepada seseorang di minit terakhir, Cristiano ialah seorang daripadanya.
“Dia sudah banyak kali melakukannya buat kami dan saya okey dia menjaringkan lebih banyak gol berbanding saya,” kata Solskjaer, merujuk kepada bintang Amerika Syarikat itu yang menang enam gelaran NBA bersama Chicago Bulls.
Dua jaringan Ronaldo mengatasi rekod Solskjaer dengan 126 gol buat kelab itu. – AFP