LISBON: Penyokong Portugal yang kecewa dengan kegagalan pasukan itu meraih tiket automatik ke Piala Dunia 2022 menjadikan kapten mereka, Cristiano Ronaldo sebagai sasaran kemarahan dengan menganggap penyerang Manchester United sebut sebagai ‘amat kasihan’.
Juara Eropah 2016 itu yang hanya perlu seri untuk layak, tumpas 1-2 kepada Serbia dan terpaksa beraksi dalam saingan playoff bagi mencari tiket Piala Dunia 2022.
Portugal dikejutkan dengan kebangkitan pelawat biarpun mendahului 1-0 di Lisbon, sekali gus membolehkan Serbia muncul juara Kumpulan A dan layak meraih slot automatik ke Qatar tahun depan.
Ronaldo, 36, dilihat menahan air mata sebaik sahaja tamat perlawanan kerana peluangnya untuk membuat penampilan kelima Piala Dunia kini tidak ketentuan.
“Bagus…Ronaldo bawa nasib malang Manchester United bersama Portugal. Selamat bergandingan dengan Harry Maguire,” antara sindiran yang diterima di Twitter.
“Encik ‘perlawanan besar’ hilang ketika pasukan amat memerlukannya,” tulis pemilik akaun Honest Ronaldo Fan.
“Persembahan yang sangat mengecewakan daripada Portugal. Mereka berhak kalah, kasihan,” kata Jorge Morgado.
Dalam aksi di Estadio da Luz, Portugal bermula langkah kanan apabila membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Renato Sanches.
Dusan Tadic bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-33, sebelum penyerang Fulham, Aleksandar Mitrovic mengesahkan kemenangan Serbia di hujung perlawanan.
Turut menjadi sasaran kemarahan adalah jurulatih, Fernando Santos, orang yang sama membawa Portugal muncul juara Eropah dan Liga Negara-Negara tetapi tersingkir di pusingan 16 akhir Piala Dunia 2018 serta Euro 2020.
“Ya, dia membawa kejayaan pada 2016, namun itu sudah lama berlalu,” kata wartawan, Colin Millar yang percaya Portugal memerlukan perubahan.
Pemain sayap Portugal, Bernardo Silva memohon maaf atas kekalahan mereka.
“Ia keputusan yang buruk tapi sekurang-kurangnya kami ada peluang di playoff, Mac nanti dan akan melakukan yang terbaik untuk layak,” kata bintang Manchester City itu. – AGENSI