MANCHESTER: Semua mata terarah kepada Cristiano Ronaldo apabila Manchester United menerima kunjungan seteru sebandar, Manchester City dalam pertembungan ‘mega’ Liga Perdana Inggeris hari ini.
Pertama, Ronaldo menunjukkan prestasi menakjubkan sejak kembali ke pangkuan Red Devils, Ogos lalu dengan meledak sembilan gol daripada 12 perlawanan (semua pertandingan).
Kedua, bintang Portugal itu sebenarnya hampir menyertai City, namun panggilan 20 saat yang dilakukan bekas pengendali United, Alex Ferguson telah menukar keputusan Ronaldo untuk memilih kembali ke Old Trafford berbanding Etihad.
Penyerang berusia 36 tahun itu hampir pasti akan digandingkan dengan bintang veteran Uruguay, Edinson Cavani selepas membentuk kombinasi mantap ketika membenam Tottenham 3-0 dalam aksi terakhir liga, minggu lalu.
Biarpun kecewa gagal mendapatkan khidmat Ronaldo pada saat akhir, City yang dibimbing Pep Guardiola beraksi baik di awal musim, namun ketiadaan penyudah klinikal punca mereka tewas 0-2 kepada Crystal Palace dalam perlawanan terakhir liga.
BENTENG UNITED RAPUH
KEPULANGAN Raphael Varane menyaksikan benteng United kembali mantap ketika menumpaskan Tottenham, kemenangan yang menyelamatkan Ole Gunnar Solskjaer.
Begitupun, bek tengah Perancis itu terlepas pertemuan menentang City selepas mengalami kecederaan hamstring ketika seri 2-2 dengan Atalanta dalam Liga Juara-Juara, Rabu lalu.
Ketiadaan Varane menyerlahkan kerapuhan pertahanan United seperti ketika mereka dimalukan 5-0 oleh Liverpool di laman sendiri, 24 Oktober lalu.
Phil Foden yang amat menyerlah musim ini perlu memanfaatkan kerapuhan benteng United diketuai Harry Maguire, Eric Bailly serta Victor Lindelof apabila membentuk jentera serangan bersama Gabriel Jesus dan Jack Grealish.
RONALDO PERLU DISEKAT
KEMENANGAN 4-1 ke atas wakil Belgium, Club Brugge dalam Liga Juara-Juara, Khamis lalu mengembalikan keyakinan City selepas tewas dua kali berturut-turut pada aksi domestik.
Sudahpun tersingkir dari Piala Liga buat kali pertama selepas lima tahun dan kalah kepada Crystal Palace pada aksi terakhir liga, Guardiola perlu mencari formasi terbaik untuk memburu kemenangan di Old Trafford.
Strategi pertama Guardiola untuk menewaskan Red Devils adalah menyekat Ronaldo, namun dalam masa sama benteng mereka yang rapuh ketika berdepan Palace perlu segera diperbaiki.
“Mereka ada pemain terbaik dalam sejarah bola sepak, seorang yang mampu menjadi mesin gol (Ronaldo). Kita harus waspada,” kata Guardiola.