LONDON: Rio Ferdinand percaya, prestasi hebat Cristiano Ronaldo bersama Manchester United mampu membantunya merampas kembali anugerah Ballon d’Or tahun depan.
Biarpun sudah memenangi lima anugerah dan tersenarai dalam calon akhir anugerah musim ini, Ronaldo tidak dianggap pilihan untuk memenangi Ballon d’Or 2021.
Lionel Messi, Robert Lewandowski dan Mohamed Salah sebaliknya menjadi pilihan untuk memenangi anugerah berprestij itu kali ini.
Bekas pertahanan United dan England, Ferdinand, 42, bagaimanapun menegaskan, hanya kerana tidak menjadi pilihan untuk memenangi anugerah tahun ini itu tidak bermakna hari-hari gemilang Ronaldo sudah berakhir.
“Mengenai pesaing tahun ini, tiada yang benar-benar menonjol. Sukar untuk diperkatakan.
“Sebelum ini hanya dua nama sering diperkatakan, Messi dan Cristiano Ronaldo.
“Cristiano tidak menjadi calon pilihan kali ini kerana pasukannya (Juventus) tidak memenangi liga dan dia juga tidak mencetak banyak gol, tetapi kalau dia meneruskan apa yang dilakukan sekarang, musim depan dia mungkin berada dalam senarai.
“Saya rasa tahun ini milik Lewandowski. Terlibat dengan 56 gol dalam 38 perlawanan adalah tidak masuk akal.
“Itu nombor yang selalu dilakukan Cristiano Ronaldo dan Messi,” kata Ferdinand.
Ferdinand juga tidak menganggap bintang tengah Chelsea, Chelsea Jorginho tergolong dalam kelompok pencabar elit.
“Jorginho membingungkan saya. Dia bukan pemain terbaik di Chelsea dan dia bukan pemain dalam kesebelasan utama Itali juga,” katanya. – AGENSI