JASIN: Garaj kereta yang menjadi tempat pemenang pingat emas angkat berat Sukan Olimpik 2020, atlet dari Filipina, Hidilyn Diaz ‘berkampung’ selama beberapa bulan dalam persiapan ke Tokyo bakal berwajah baharu.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kementerian akan menyalurkan peruntukan RM100,000 bagi membaikpulih garaj kereta di Kampung Kesang Tua dan menambah fasiliti peralatan sedia ada.
Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan berbincang untuk meningkatkan garaj tersebut bagi dijadikan tempat latihan lebih sempurna berikutan kejayaan Diaz di Tokyo telah menarik minat golongan remaja di daerah itu mula meminati sukan angkat berat.
Pihaknya akan berbincang dengan pemilik garaj yang merupakan kediaman Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah untuk dijadikan sewaan untuk tempoh jangka panjang.
“Diaz dan jurulatihnya, Julius Naranjo dari Guam menyatakan kesediaan untuk terus berada di sini (Kesang Tua) bagi melatih atlet remaja di sekitar daerah ini.
“Memandangkan golongan remaja meminati acara angkat berat kenapa tidak kita baik pulih fasiliti ini dan membesarkan garaj bagi membolehkan mereka menjalani latihan dengan selesa.
“Saya lihat sukan ini mendidik golongan remaja menjadi lebih berdisiplin dan fokus. Kita akan bantu untuk menjadikan tempat ini bagi melahirkan ramai atlet mengikut contoh Diaz,” ujarnya semalam.
Beliau bersama Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail melawat garaj kereta tempat Diaz menjalani latihan selama 11 bulan bagi menghadapi temasya Sukan Olimpik Tokyo.
Atlet kelahiran Zamboanga di Mindanao, Filipina itu membuat kejutan apabila memenangi pingat emas dalam acara 55 kilogram wanita.
Mengulas lanjut Ahmad Faizal berkata, beliau berharap apabila siap baikpulih garaj tersebut, tempat itu akan menjadi pusat latihan khusus untuk atlet remaja bukan sahaja datang dari daerah ini tetapi juga dari luar.
Jelasnya, beliau teruja melihat kesungguhan ibu bapa menghantar anak mereka menjalani latihan di garaj tersebut.