KOTA BHARU: Penolong jurulatih Kelantan FC Rezal Zambery Yahya dinaikan pangkat sebagai pengendali pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.
Perkara itu diumumkan oleh pengurusan Kelantan FC menerusi satu status yang dimuat naik menerusi entri laman sosial Facebook rasmi pasukan TRW Kelantan FC hari ini.
“Semoga dengan pelantikan ini membawa sinar baharu bagi musim hadapan dengan mangatur perancangan awal yang bakal dilakukan oleh beliau menjadi titik permulaan kebangkitan pasukan TRW Kelantan FC.
“Pihak pengurusan berharap Rezal Zambery dapat menggunakan segala pengalamanya untuk mengendali pasukan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini anak kelahiran Johor itu dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Marco Ragini.
Pencapaian terbaik Rezal Zambery ialah memimpin Kelantan FC menduduki tangga keenam saingan Liga Perdana.
Bukan itu sahaja, dia berjaya mambawa Kelantan FC ke saingan Piala Malaysia musim ini.