LONDON: Pemecatan Ole Gunnar Solskjaer kelmarin belum memberi kesan positif buat masa ini, sebaliknya Manchester United bakal berdepan ranjau apabila bertandang ke Villarreal untuk aksi Liga Juara-Juara esok.
Pemain dikatakan tidak yakin dengan kemampuan pengurus sementara, Michael Carrick untuk membawa pasukan dalam saingan Kumpulan F.
Red Devils tidak boleh kalah jika mahu meraih tiket ke peringkat kalah mati biarpun menerajui kumpulan dengan tujuh mata.
Villarreal yang turut mengutip tujuh mata akan memintas takhta pendahulu jika menang di laman sendiri, manakala Atalanta dengan lima mata boleh mengejar kedudukan dua teratas sekiranya mengalahkan Young Boys dalam satu lagi perlawanan.
Menurut Daily Mail, suasana di kem latihan United kini kurang ‘ceria’, malah wujud kebimbangan kerana bekas pemain tengah mereka, Carrick, 40, yang akan dibantu Kieran McKenna, 35, masih terlalu mentah serta cetek pengalaman.
Carrick memenangi lima gelaran Liga Perdana Inggeris sebagai pemain United, malah membantu kelab muncul juara Eropah dengan mengalahkan Chelsea pada 2008 menerusi sepakan penalti.
United memecat Solskjaer kelmarin, kurang 24 jam selepas pasukan itu dimalukan 1-4 oleh Watford di Vicarage Road.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi tumpuan esok, Benfica akan memberi ujian sebenar buat pengendali baharu Barcelona, Xavi apabila berdepan gergasi Sepanyol itu di Camp Nou dalam saingan Kumpulan E.
Masih belum mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati, Barca tidak boleh kalah atau berisiko tersingkir awal dalam kejohanan kelab elit Eropah itu.
Bayern Munich sudah sebelah kaki untuk melayakkan diri dengan mengumpul 12 mata, meninggalkan Barcelona di tempat kedua menerusi enam mata, diikuti Benfica (4) dan Dynamo Kiev (1).
Xavi menegaskan, pasukannya perlu mengambil lebih risiko dan mempamer permainan cantik jika mahu menumpaskan Benfica.
“Kami tidak boleh mengorbankan prinsip hanya untuk menang. Kami perlu memberikan aksi cantik dan berani mengambil lebih risiko,” katanya. – AGENSI