LONDON: Hubungan baik pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick dengan Erling Haaland diharap mampu membantu mereka membawa penyerang sensasi Norway itu ke Old Trafford musim ini.
Haaland, 21, yang kini menyarung jersi Borussia Dortmund menjadi rebutan kelab ternama Eropah, termasuk Manchester City, Liverpool, Chelsea dan Real Madrid.
City dikatakan menjadi pilihan untuk mendapatkan Haaland kerana bapa pemain itu pernah beraksi buat mereka, manakala Real sudah memulakan langkah membawa masuk bintang muda tersebut.
Begitupun kehadiran Rangnick di Old Trafford menjadikan United pencabar baharu untuk membeli pemain itu.
Rangnick membawa Haaland dari Molde ke RB Salzburg, dua tahun lalu ketika menjadi pengarah bola sepak kelab Austria tersebut.
Perpindahan Haaland ke Salzburg melonjakkan namanya dan setahun kemudian dia disambar Dortmund.
Dianggap aset paling ‘panas’ di Eropah, Haaland bagaimanapun mempunyai klausa perpindahan 64 juta pound (RM362 juta) untuk ditebus mana-mana pasukan yang berminat mendapatkannya. – AGENSI