Pergaduhan Arteta, Klopp tidak serius - Utusan Malaysia

Pergaduhan Arteta, Klopp tidak serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Mikel Arteta meredakan pergaduhannya dengan Jurgen Klopp apabila menegaskan, ‘tiada apa-apa’ berlaku dan mereka cuma mempertahankan pasukan masing-masing.

Kedua-dua pengurus bertelingkah di tepi padang pada minit ke-32 selepas berlaku ‘pertempuran udara’ di antara Sadio Mane dan pertahanan Arsenal, Takehiro Tomiyasu.

Klopp menjerit ‘semua pemain Arsenal mahu mendapatkan Sadio Mane’ selepas penyerang Senegal itu dipersalahkan kerana mengasari Tomiyasu.

Arteta benar-benar hilang sabar hingga terpaksa dihalang oleh pembantunya ketika mahu memasuki kawasan teknikal Klopp.

SUASANA tegang antara Jurgen Klopp (kiri) dan Mikel Arteta ketika Liverpool menewaskan Arsenal 4-0 di Anfield pagi tadi.

Kedua-dua pengurus kemudian dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Michael Oliver.

Ketika ditanya apa yang mendorong kepada kemarahannya, Arteta memberitahu Sky Sports: “Tiada apa-apa. Dia (Klopp) mempertahankan pasukannya, saya mempertahankan pasukan saya. Selepas perlawanan, saya mengucapkan tahniah kepadanya.

“Pada saya, insiden seperti ini sentiasa berlaku dalam bola sepak. Ia sebahagian daripada persaingan, cara kami bersaing.”

Klopp pula ketika ditanya secara terperinci apa yang berlaku berkata: “Saya terpaksa mengeluarkan Sadio ketika menentang Atletico Madrid (Liga Juara-Juara) kerana Atletico melakukan provokasi untuk dia dilayangkan kad kuning, dan perkara seperti ini tidak okay.

“Saya fikir, pengadil mengendalikan situasi hari ini dengan amat baik. Saya tahu, saya memang patut dapat kad kuning, ia tiada masalah.

“Kalau ada kekerasan berlaku terhadap pemain, kami semua (jurulatih) pasti akan bersikap begini tapi tiada apa-apa yang serius.”

JURGEN Klopp (kiri) dan Mikel Arteta masing-masing dilayangkan kad kuning. 

Jaringan Sadio Mane, Diogo Jota, Mohamed Salah dan Takumi Minamino membawa kemenangan 4-0 Liverpool, sekali gus menamatkan rekod 10 perlawanan tanpa kalah Arsenal.

Kemenangan itu melonjakkan Liverpool di tangga kedua Liga Perdana Inggeris dengan 25 mata, empat mata di belakang Chelsea.

Gunners kekal di tangga kelima liga dengan 20 mata. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya