IPOH: Impian Perak FC mencatat kemenangan di gelanggang sendiri tidak kesampaian apabila tumpas 0-1 kepada Kuching City FC dalam saingan Piala Malaysia kumpulan B di Stadium Perak di sini sebentar tadi.
Ini adalah kekalahan ketiga berturut-turut pasukan The Bos Gaurus yang kecundang dua kali kepada Terengganu FC .
Begitupun perlawanan ini sudah tidak mempunyai sebarang makna buat kedua-dua yang sudah tersingkir dari suku akhir.
Hanya kemenangan itu pasti memberi kepuasaan kepada Kuching City FC kerana memintas Perak dalam kumpulan.
Pemain yang menjadi wira pelawat ialah Raffiq Shah Mohammad Zaim muncul apabila menyumbat gol kemenangan pelawat pada minit ke-71.
Raffiq membuat tindakan susulan untuk menolak masuk ke dalam gawang melepasi Mohd. Farhan Majid yang terdahulu berjaya menghalang percubaan lawan.
Kecuali gol itu, kedua-dua pasukan bagaimanapun tidak banyak mencipta peluang.
Berikutan itu perlawanan berlangsung lembab tanpa banyak gerakan menarik terutama pemain tuan rumah yang gagal bermain baik. – UTUSAN ONLINE