IPOH: Suka atau tidak Perak FC hanya mempunyai tiga hari untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pemainnya.
Berdasarkan arahan Persatuan Pemain Profesional Bola Sepak Malaysia (PFAM) melalui emel, Perak FC ada sehingga 28 November ini untuk melunaskan bayaran tunggakan gaji tiga bulan itu.
Surat yang ditandatangani oleh Eksekutif Perundangan PFAM, Azzairi Rosle itu dikirim melalui emel kepada Perak FC pada 18 November lalu.
PFAM bertindak pantas dengan mengeluarkan arahan itu sebaik menerima aduan daripada pemain-pemain Bos Gaurus.
Pemain Perak membuat aduan kepada PFAM berikutan kegagalan mencapai persetujuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Hairul Anwar Mohamed mengenai urusan pembayaran tunggakan gaji itu.
Hairul mahu membayar secara berperingkat tetapi tidak dipersetujui pemain.
“Setakat ini Perak FC hanya membayar separuh gaji bulan Ogos sedangkan kini sudah nak habis bulan November,” kata sumber kepada Utusan Malaysia.
Kegagalan Perak FC menyelesaikan isu gaji sebelum tarikh ditetapkan itu akan memberi kesan buruk kepada pasukan seandainya kes dipanjangkan ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pasukan itu tidak boleh mengambil khidmat pemain baharu dan import untuk musim 2022 serta mungkin diturunkan ke Liga M 3.