IPOH: Pergolakan kini membayangi Perak FC berikutan penstrukturan kepimpinan kelab itu semalam.
Ia berikutan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain terhadap tindakan menurunkan pangkat Azman Noh daripada jawatannya Pengurus Besar (GM) kepada Ahli Lembaga Kelab itu.
Sebaliknya, Perak FC melantik Exco Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hairul Anwar Mohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC berkuatkuasa serta merta..
Menurut sumber, majoriti pemain yang selama ini senang dan selesa dengan Azman atau lebih mesra dengan panggilan ‘Cikgu Man’ berasa tidak selamat berikutan pertukaran kepimpinan kelab itu.
Difahamkan, paling penting bagi pemain sekarang ialah siapa yang akan menyelesaikan masalah tunggakan gaji tiga bulan pasukan.
“Selama ini Azman berjaya meredakan ketegangan walaupun pasukan menghadapi masalah tunggakan gaji.
“Pemain sudah faham dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Manjung itu justeru tidak menyuarakan masalah dihadapi mereka,” kata sumber itu.
Menurut sumber itu, kini dengan pertukaran pengurusan pasukan ke tangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) siapa yang akan menyelesaikan masalah pemain.
Katanya, persoalannya mampukah pemain bertahan dengan gelora dan jiwa yang dihimpit keresahan.
“Justeru, pemain tidak boleh dipersalahkan jika mereka memberontak dan mengambil tindakan drastik termasuk mengadu kepada FAM, MFL atau Persatuan Pemain Profesional (PFM).
“Jika itu berlaku, maka Perak FC menghadapi kemungkinan ditarik balik lesen sekaligus tidak dapat beraksi di dalam Liga M tahun depan,” kata sumber kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, satu sidang akhbar yang sepatutnya dihadiri oleh para pemain di sebuah hotel sini semalam berhubung kelemut terbaharu itu, dibatalkan pada saat akhir.
Difahamkan, para pemain yang sepatutnya menghadiri sidang akhbar berkenaan telah dinasihatkan supaya tidak meneruskan hasrat mereka kerana dibimbangi akan melanggar kontrak.