ALOR SETAR: Walaupun sekadar seri 0-0 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengucapkan tahniah kepada skuad
Hijau Kuning kerana memberi tentangan hebat pada suku akhir pertama Malaysia di Stadium Darul Aman kelmarin.
Di sebalik isu gaji yang menyelubungi pasukan sebelum perlawanan, selain ketiadaan dua tonggak import, Rabih Ataya (Lebanon) dan M. Anumanthan (Singapura), ramai menjangkakan Kedah akan menjadi mangsa JDT, yang hadir ke Alor Setar dengan kekuatan penuh bersama reputasi juara Liga Super serta kelab ‘paling kaya’ di Malaysia.
Bagaimanapun, Kedah menunjukkan semangat juang tinggi dan bertahan dengan ampuh, sekali gus menjadikan peluang amat terbuka buat kedua-dua pasukan apabila berentap pada suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Khamis ini.
“Saya hadir (ke Stadium Darul Aman) memang jangka (Kedah) balun JDT, ternyata JDT bukan lawan calang-calang dan kita mengakui kehebatannya.
“Kedah walaupun negeri miskin bertanding dengan pasukan kaya-raya tetapi pasukan kaya-raya tidak menang. Walaupun miskin tetapi semangat juang kita tinggi,” kata Menteri Besar Kedah itu pada sidang akhbar secara dalam talian selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Aman semalam.
Dalam perlawanan itu, skuad Hijau Kuning hanya menampilkan dua import dan disertai lima pemain muda yang terpaksa memikul tugas berat bagi mengekang cabaran skuad Harimau Selatan.
Sementara itu, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui, ketiadaan Rabih dan Anumanthan menyukarkan Kedah untuk mengatasi juara bertahan, JDT.
Bagaimanapun, beliau memuji semangat luar biasa pemainnya dan berharap karakter seperti itu akan diulangi di Johor.