PETALING JAYA: Jaringan waktu kecederaan pemain gantian, Nik Sharif Haseefy Lazim menghidupkan misi Selangor untuk memburu kejuaraan Piala Malaysia ke-34 selepas menumpaskan Kuching City FC 2-1 sebentar tadi, sekali gus mengesahkan tiket ke suku akhir.
Kemenangan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin membolehkan Red Giants mengiringi Terengganu FC ke peringkat kalah mati dari Kumpulan B.
Bermain di stadium kosong, Selangor membuka jaringan seawal minit ke-18 menerusi tandukan Danial Asri yang menewaskan penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.
Jaringan berpunca daripada gerakan di sayap kiri selepas Alexander Ameyaw melepasi pemain lawan sebelum melakukan hantaran untuk disempurnakan Danial.
Kuching City bagaimanapun tidak memberi laluan mudah buat Selangor apabila Michael Ijezie menyamakan kedudukan di minit ke-67 ketika pelawat membuat pertukaran pemain.
Ketika permainan seakan-akan bakal berakhir seri, gawang Kuching City bolos selepas rembatan Nik Sharif terkena pertahanan lawan, Ramesh Lau Ban Huat.