MANCHESTER: Biarpun masih berseronok dengan kejayaan membenam Club Brugge 4-1 semalam untuk menghampiri peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, pengendali Manchester City, Pep Guardiola sudah mengalihkan fokus kepada aksi domestik menentang Manchester United esok.
Bermain dalam fikiran pengurus City itu adalah bagaimana hendak ‘merantai’ Cristiano Ronaldo di Old Trafford untuk membolehkan The Citizens pulang bersama tiga mata, sekali gus mengelak kekalahan liga kedua berturut-turut.
Ronaldo, 36, sudah meledak sembilan gol dalam 11 perlawanan sejak kembali ke pangkuan United, Ogos lalu, malah dia muncul wira menjaringkan kedua-dua jaringan Red Devils ketika mengikat Atalanta 2-2 pada saingan Eropah kelmarin.
“Saya tidak tengok perlawanan United (menentang Atalanta). Saya akan melakukan analisis dan lihat di mana kekuatan mereka.
“Apa yang saya tahu, mereka mempunyai salah seorang pemain ‘terhebat dalam sejarah’. Seorang yang tahu bagaimana hendak menjaringkan gol, menjadi mesin gol iaitu Ronaldo,” kata Guardiola.
Selepas melakar kemenangan selesa ke atas Brugge, yang membawa mereka ke tangga teratas Kumpulan A, Guardiola hanya mempunyai 48 jam untuk mempersiapkan pasukan menghadapi aksi derbi paling mencuri tumpuan.
United memiliki kelebihan rehat sehari, namun mereka ditimpa malang menjelang pertemuan esok apabila bek tengah yang menjadi nadi pasukan, Raphael Varane disahkan terpaksa berehat sebulan akibat kecederaan hamstring.
Varane, 28, dibawa keluar dalam keadaan terhincut-hincut pada separuh masa pertama dalam pertemuan dengan Atalanta. – AGENSI