PETALING JAYA: Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui, mutu pengadilan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi memang buruk.
Bagaimanapun kata pemilik JDT itu, isu pengadilan teruk bukan sahaja berlaku dalam permainan tersebut, malah kebanyakan perlawanan Liga Malaysia (Liga M), dan ia terjadi setiap tahun.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga menegaskan, sudah tiba masanya video bantuan pengadil (VAR) digunakan dalam Liga M.
“Ref (pengadil) teruk. Bukan game (perlawanan) ini sahaja. Majority (kebanyakan) games (perlawanan) setiap tahun.
“Sabah lwn (lawan) Terengganu, JDT lwn Kelantan, Negeri Sembilan lawan Sarawak dan lain lain.
“Setiap tahun benda yang sama. Kami perlu improvement (penambahbaikan)
dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mesti ambil tindakan,” tulisnya dalam Twitter.
Ref teruk. Bukan game ini sahaja. Majority games setiap tahun. Sabah lwn Terengganu, JDT lwn Kelantan, Negeri Sembilan lawan Sarawak dan lain lain. Setiap tahun benda yang sama. Kami perlu Improvement dan FAM misti ambil tindakan. https://t.co/DM3tvXbDdB
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) November 22, 2021
Penyokong Terengganu mengkritik pengadil, Ahmad Yassin kerana gagal mengambil tindakan atas beberapa kekasaran dilakukan pemain JDT ketika pasukan mereka seri 1-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Ada tiga insiden yang menimbulkan kemarahan mereka, sehingga mendorong peminat menyindir, Harimau Selatan tidak hanya membawa bekalan satu gol dalam aksi timbal balik, Jumaat ini, malah membawa bekalan ‘pengadil’.
Insiden pertama berlaku pada minit ke-70 apabila pertahanan JDT, Shane Lowry jelas melakukan kekasaran terhadap penyerang tuan rumah, Jordan Mintah yang sudah pun terjatuh sebelum menolak penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin yang menariknya untuk meleraikan pergaduhan.
Dalam insiden kedua, pemain tengah Harimau Selatan, Natxo Insa bertindak menyepak bola selepas wisel dibunyikan.
Mengikut peraturan, tindakan itu sepatutnya diberikan kad kuning, namun pengadil sekadar memberi amaran.
Insiden ketiga berlaku di hujung permainan apabila Natxo secara sengaja melanggar seorang pemain Terengganu, dan ia kesalahan yang sepatutnya diberikan kad kuning tetapi sekali lagi dia terlepas hukuman.
Terengganu FC bakal berdepan laluan berliku untuk memburu tiket final apabila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dalam separuh akhir kedua, Jumaat ini.