Muslifah insan yang kuat - Utusan Malaysia

Muslifah insan yang kuat

MUSLIFAH ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pemergian bekas penembak kebangsaan, Muslifah Zulkifli akibat radang paru-paru semalam meninggalkan kesan mendalam kepada rakan-rakan dan keluarganya yang menyifatkan beliau seorang yang sangat kuat.

Lebih meruntun jiwa, bayi dalam kandungan Muslifah yang juga anak pertamanya selepas beberapa kali mengalami keguguran turut meninggal dunia pada usia kandungan enam bulan ketika Allahyarham menerima rawatan di pusat rawatan rapi (ICU) hospital.

Semalam, Muslifah yang pernah mewakili negara dalam temasya besar seperti Sukan Asia dan Komanwel selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, di sini pada pukul 1.30 petang.

Menurut adiknya, Mohamad Zulfizri, 31, Allahyarham yang menetap di Pulau Pinang selepas tidak lagi aktif dalam sukan dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini kira-kira enam minggu lalu akibat jangkitan Covid-19.

Sejak itu, situasi kesihatan Muslifah tidak menentu meskipun sudah disahkan sembuh daripada Covid-19.

JENAZAH bekas penembak negara, Muslifah Zulkifli dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, Pulau Pinang semalam.

Kesihatan Allahyarham dilaporkan bertambah baik beberapa minggu lalu selepas paras oksigennya mulai stabil sebelum doktor mengesan jangkitan kuman dalam paru-paru.

“Sehinggalah pukul 12.30 malam tadi, pihak hospital menghubungi keluarga dan suaminya, Mohd. Syamim Saharuddin memaklumkan keadaannya makin kritikal sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2.30 pagi,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di rumahnya di Jelutong semalam.

Bekas rakan sepasukan Muslifah dalam skuad kebangsaan, Mariani Rafali menganggap Allahyarham seorang yang sangat kuat sama ada ketika bergelar atlet mahupun di saat bertarung dengan penyakit.

“Dia seorang yang kuat semangat, tidak mudah putus asa. Dulu kalau tengok dia berlatih, sangat rajin. Selepas selesa 3P (rifle 3 posisi), dia boleh sambung tembak air (pistol angin), tak tahu mana dia dapat tenaga.

“Kami semua tahu macam mana dia bergelut. Sampai ke akhir hayat pun dia masih bertarung. Ujian demi ujian dia hadapi, tabahnya seorang insan yang bernama Muslifah Zulkifli,” katanya.

Muslifah antara penembak yang berada lama dalam program latihan kebangsaan dan tersenarai untuk Program Podium dari 2015 hingga 2017.
Beliau memenangi pingat gangsa Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan dalam 50 meter rifle prone berpasukan wanita bersama Nur Suryani Taibi dan Ayuni Farhana Halim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya