JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mempertahankan Safawi Rasid setelah pemain itu gagal menyempurnakan skil ‘panenka’ ketika mengambil penalti dalam perlawanan menentang Sabah FC, malam tadi.
Bagi Mora, tindakan pemain itu satu cubaan berani untuk memberikan keceriaan kepada penonton yang pertama kali hadir ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sejak beberapa bulan yang lalu.
Pada pengamatannya, Mora memberitahu, pemain berusia 24 tahun itu mahu membuktikan kepada semua bahawa dia mempunyai kualiti, berskil tinggi dan mampu mencetak gol.
“Ketika Safawi mengambil keputusan untuk berbuat demikian, saya menyokong tindakannya. Pasukan sudah mendahului 2-0 dengan permainan berbaki lima minit, jika bukan waktu itu, bila lagi masa yang sesuai.
“Ini bola sepak, ada masanya pemain mahu berseronok, memberikan sesuatu yang istimewa kepada penonton. Sudah tentu dia perlu bertanggungjawab sepenuhnya, namun saya tak salahkan dia.
“Bagi saya, dia melakukan tugas yang baik mencuba sesuatu yang baru. Saya suka pemain yang sanggup mengambil risiko dan peluang melakukan perkara yang luar biasa,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.
Pada perlawanan itu, JDT tidak berdepan kesukaran untuk menjinakkan Sabah FC 3-0 sekali gus mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia.
Sementara itu, walaupun menekankan taktik bertahan, namun kebimbangan Sabah FC untuk elak bolos gol awal tetap berulang dalam perlawanan itu.
Penolong Ketua Jurulatih, Burhan Ajui berkata, kesilapan pemain yang ‘lambat panas’ dihukum pemain skuad Harimau Selatan yang berterusan mengasak kubu lawan seawal sepak mula.
“Jika dilihat atas kertas, kita sudah menjangkakan akan tewas. Bagaimanapun, saya tetap bangga dengan aksi pemain khususnya pemain muda yang mempamerkan permainan berkualiti, memberi saingan kepada pasukan JDT.
“Dalam tempoh seminggu ini, kita memberi tumpuan dari segi corak bertahan, setidaknya kita mampu mengekang lawan untuk berpesta gol.
“Ketiadaan pemain tonggak seperti Park Tae-Soo dan Levy Madinda juga memberi kesan kepada aksi persembahan pemain pada perlawanan tadi,” katanya.
Burhan berkata, skuad Badak tidak ada pilihan lain selain memenangi baki perlawanan menentang PJ City FC dan Kelantan FC untuk mengintai peluang mengiringi JDT ke pusingan suku akhir.
“Perlawanan PJ City menentang Kelantan FC yang berkesudahan tanpa jaringan itu memberi kelegaan buat Sabah.
“Sudah tentunya kami berhasrat untuk memburu kemenangan dalam baki perlawanan itu lebih-lebih lagi apabila beraksi di laman sendiri. Peluang buat kami masih terbuka,” katanya.