ALOR SETAR: Di atas kertas dan padang, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pilihan untuk mengalahkan Kedah pada suku akhir pertama Piala Malaysia malam ini.
Begitupun, beraksi di depan penyokong sendiri, selain berita gembira yang diterima dua hari sebelum perlawanan, iaitu pihak pengurusan sudah melunaskan tunggakan dua bulan gaji menjadikan mood kem Kedah ketika ini sangat baik.
Tiada lagi masalah luar padang membolehkan anak-anak buah Aidil Sharin Sahak fokus kepada pertemuan menentang juara bertahan.
Kegusaran terbesar Kedah ketika ini adalah ketiadaan Rabih Ataya (Lebanon) dan M. Anumanthan (Singapura) yang menyebabkan mereka ibarat ‘patah sayap’ selepas kedua-dua tonggak tengah itu menyahut cabaran skuad kebangsaan masing-masing.
Kedah yang kalah 1-3 dan 0-2 kepada Melaka United di peringkat kumpulan juga perlu mengukuhkan benteng jika tidak mahu dihukum JDT, yang telah meledak 14 gol dengan hanya dibolosi sekali dalam Kumpulan D.
“JDT ada pemain terbaik dari penjaga gol sehinggalah ke penyerang, jadi kami perlu berwaspada serta memberi lebih fokus terhadap semua aspek.
“Walau siapa pun yang dimasukkan jurulatih, mereka perlu bermain dengan baik.
“Perlawanan ini mungkin agak ‘berat’ tapi tiada apa yang mustahil dan kami akan cuba sedaya upaya mencari gol,” kata pertahanan Kedah, Rodney Celvin.
MACAM AKSI FINAL
Pengendali JDT, Benjamin Mora pula menganggap pertemuan malam ini ibarat perlawanan akhir.
Kedua-dua pasukan bukan sahaja membawa status juara serta naib juara Liga Super musim ini, malah turut berentap dalam final Piala Malaysia dua tahun lalu.
Biarpun JDT mengalahkan Kedah 3-0 di Bukit Jalil pada 2019, selain memenangi kedua-dua aksi ke atas Lang Merah pada saingan Liga Super, Mora menegaskan, suasana di peringkat kalah mati amat berbeza.
“Kami banyak melakukan eksperimen taktikal ketika memenangi semua perlawanan peringkat kumpulan, namun memasuki saingan kalah mati, situasi berbeza. JDT tak boleh tersalah langkah,” kata Mora.
Dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, Mora merehatkan beberapa tonggak seperti Bergson da Silva, Gonzalo Cabrera, Shane Lowry dan Farizal Marlias sebagai persediaan menentang Kedah, sebaliknya memberi peluang kepada pemain seperti Guilherme De Paula serta Syafiq Ahmad.