LAS VEGAS: Conor McGregor dibidas oleh bekas pengurus Khabib Nurmagomedov selepas mendakwa dia berhak mendapat pertarungan yang menawarkan kejuaraan dunia.
Jaguh seni bela diri campuran Ireland itu mahu kembali beraksi selepas tewas dua kali berturut-turut kepada Dustin Poirier.
McGregor, 33, tewas dalam pertarungan pertama di pusingan kedua, Januari lalu sebelum mengalah di hujung pusingan pertama dalam aksi kedua Julai lalu kerana patah kaki.
Terdahulu, McGregor ditewaskan oleh Khabib pada 2018 sebelum kembali menewaskan Donald Cerrone pada 2020, satu-satunya kemenangan yang diraihnya sejak menewaskan Eddie Alvarez pada 2016.
Meskipun memiliki rekod buruk itu, McGregor masih menegaskan dia berhak mendapat perlawanan yang menawarkan gelaran lightweight UFC.
Bekas pengurus Khabib, Ali Abdelaziz bagaimanapun membidas McGregor dengan melihat rekod buruknya sejak tiga tahun lalu.
“Rekod anda 1-3 dalam empat pertarungan terakhir. Sila diam. Anda satu-satunya jaguh seni bela diri paling teruk dalam kelompok 15 terbaik,” tegasnya.
Charles Oliveira adalah juara lightweight dengan Justin Gaethje pula calon utama untuk bertarung dengannya bagi merebut kejuaraan dunia. – AGENSI