BARCELONA: Pelumba Honda, Marc Marquez terpaksa menarik diri daripada menyertai Grand Prix (GP) Valencia hujung minggu ini selepas disahkan mengalami diplopia (masalah mata yang menyebabkan satu objek dilihat berganda).
Juara MotoGP dunia enam kali itu terlepas saingan GP Algarve hujung minggu lalu selepas mengalami kemalangan dalam sesi latihan yang menyebabkan gegaran di kepalanya.
Perkara tersebut disahkan oleh Honda dalam satu kenyataan, sambil memberitahu penunggang Sepanyol sedang berehat di rumahnya di Cervera, sepanjang minggu ini.
“Marc tidak akan mengambil bahagian dalam GP Valencia hujung minggu ini termasuk sesi ujian yang akan berlangsung pada 18 dan 19 November ini di litar Jerez.
“Marc menjalani pemeriksaan kesihatan di Dexeus Clinic di Barcelona, Selasa lalu, selepas dia terjatuh ketika sesi latihan off-road. Pelumba tersebut direhatkan di rumahnya di Cervera sepanjang minggu ini.
“Sepanjang waktu rehat itu, Marc masih tidak sihat dan mengalami masalah penglihatan dan disebabkan itu, dia berjumpa dengan pakar oftalmologi, Dr. Sanchez Dalmau di Clinic de Barcelona.
“Marc mendapatkan pemeriksaan dengan doktor turut menjalankan ujian ke atasnya, sebelum disahkan mengalami masalah diplopia,” kata Honda.
Sementara itu, Marquez memberitahu, dia harus bersabar dalam menempuhi dugaan tersebut dengan positif sambil berterima kasih atas sokongan yang diraihnya.
“Ini adalah saat-saat sukar bagi saya, ia seperti ketika hujan, airnya akan mencurah-curah.
“Saya sudahpun berjumpa Dr. Sanchez Dalmau dan disahkan mengalami episod baharu diplopia (penglihatan berganda) seperti 2011.
“Saya memerlukan kesabaran dan satu perkara yang saya telah lalu adalah, hadapi kesukaran ini dengan positif.
“Terima kasih atas sokongan anda,” ujarnya. – AGENSI