JOHANNESBURG: Liverpool yang sudahpun dibayangi krisis kecederaan semakin resah apabila bintang mereka, Sadio Mane muncul pemain terbaharu berada dalam senarai kecederaan.
Penyerang berusia 29 tahun itu terpaksa dikeluarkan ketika membantu Senegal seri 1-1 dengan Togo dalam kelayakan Piala Dunia 2022, awal pagi tadi.
Dia mengalami kecederaan selepas bertembung dengan pemain pertahanan ketika cuba menanduk bola dan kemudian terpaksa digantikan.
Senegal yang sudah menjuarai Kumpulan H dan melangkah ke peringkat kali mati zon Afrika, meraih satu mata apabila Habib Diallo menyamakan kedudukan pada masa kecederaan selepas Pape Cisse menjaringkan gol ke gawang sendiri untuk Togo di depan pada babak pertama.
Minggu lalu, Roberto Firmino mengalami kecederaan hamstring yang memaksanya direhatkan hampir sebulan.
Berita tersebut hadir ketika Joe Gomez, Curtis Jones (betis), Naby Keita dan James Milner (hamstring) sudahpun disisihkan akibat kecederaan.
Pegawai pasukan Senegal bagaimanapun meredakan keresahan Reds apabila memberitahu bahawa Mane boleh kembali beraksi apabila Liverpool bertemu Arsenal pada 20 November ini. – AGENSI