PETALING JAYA: Pemain tengah Melaka United, Ahmad Syamim Yahya memohon maaf kepada penyerang Sabah, Amri Yahyah atas apa yang berlaku di Stadium Likas, Ahad lalu sambil menjelaskan insiden itu tidak disengajakan.
Dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia minggu lalu, Syamim dikatakan sengaja memijak kaki Amri ketika pemain berusia 40 tahun itu sedang terbaring kesakitan pada minit-87 perlawanan, sekali gus mengundang kemarahan penyokong tuan rumah.
Dia menjelaskan situasi ketika itu agak kelam kabut dan langsung tidak berniat untuk memijak kaki Amri sebaliknya hanya ingin membantu selepas melihat keadaan penyerang itu yang dalam kesakitan.
“Masa itu keadaan agak kelam kabut, dan saya sebenarnya nak tarik Gomes (Giovane Gomes) dan saya letakkan kaki saya di tengah-tengah antara kaki dia.
“Saya tak nampak yang kaki Amri dekat situ, dan waktu itu saya ada tanya keadaan Amri, dia cakap tangan dia sakit jadi kalau betul saya memang nak sengaja pijak, mesti kaki dia akan sakit juga.
“Saya pun tak perasan yang saya ada pijak Amri dan lepas saya dapat video, baru saya nampak situasi sebenar, terus saya mesej Amri, dia pun cakap tiada apa-apa dan kami berdua baik-baik sahaja.
“Takkan la saya nak pijak dia dengan sengaja, dan saya pun sudah minta maaf dekat Amri atas apa yang berlaku sebab saya memang tidak sengaja”, jelasnya.
Syamim turut mengharapkan agar isu ini tidak lagi diperbesarkan sebaliknya ingin fokus kepada aksi suku akhir kedua yang akan berlangsung pada Khamis di Stadium Hang Jebat.
Meskipun kelebihan memihak Melaka selepas menang 1-0 ke atas Sabah minggu lalu, bekas pemain Terengganu FC itu menganggap laluan untuk ke separuh akhir belum selamat.