LIVERPOOL: Rembatan ‘petir’ Thiago Alcantara dan jaringan Mohamed Salah mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara.
Merehatkan ramai tonggak dalam kesebelasan utama, Reds tetap ampuh menumpaskan Porto 2-0 awal pagi tadi untuk kekal mengungguli Kumpulan B.
Kegagalan Porto menyempurnakan beberapa peluang keemasan pada babak pertama terpaksa dibayar dengan harga tinggi, terutama selepas Liverpool yang sudah layak ke peringkat kalah mati lebih awal hanya membariskan skuad kedua.
Jurgen Klopp meletakkan pemain remaja berusia 19 tahun, Tyler Morton dalam kesebelasan utama pada penampilan sulungnya di pentas Eropah.
Kapten, Jordan Henderson, Virgil van Dijk, Trent Alexander-Arnold, Diogo Jota, Fabinho dan Andrew Robertson diletakkan di bangku simpanan.
Selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan, Liverpool akhirnya mengganas di separuh masa kedua.
Thiago akhirnya menamatkan kemarau jaringan sejak Mei lalu dengan melepaskan rembatan menakjubkan pada minit ke-52 untuk tuan rumah mendahului 1-0.
Anfield terus bergema apabila Salah menggandakan kedudukan menerusi penamat klinikal di minit ke-70, iaitu jaringan ke-17 bintang Mesir itu musim ini.
Reds juga terlepas peluang untuk menang dengan jaringan lebih besar selepas gol Sadio Mane pada separuh masa pertama dibatalkan kerana ofsaid.
Anak-anak buah Klopp mengumpul 15 mata maksimum daripada lima perlawanan ‘kumpulan maut’ untuk muncul kelab England pertama melesam dua gol atau lebih dalam 16 perlawanan berturut-turut (semua kejohanan) sejak Wolverhampton pada 1939.
Porto kekal di tangga kedua dengan lima mata selepas Atletico Madrid tumpas 0-1 kepada AC Milan di laman sendiri. Kedua-dua pasukan itu mengekori dengan empat mata.
Porto akan menerima kunjungan Atletico dalam aksi terakhir, manakala Liverpool bertandang ke Milan.
“Terlalu banyak perkara bagus berlaku malam ini. Ramai pemain mendapat minit permainan, rentak, keyakinan dan paling penting, tiada siapa cedera.
“Jaringan Thiago..wow,” kata Klopp. – AGENSI