LIVERPOOL: Michael Owen memilih Liverpool sebagai pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini selepas menjuarai ‘kumpulan maut’ yang turut dibarisi Atletico Madrid, AC Milan dan Porto ketika saingan berbaki dua perlawanan.
Kemenangan 2-0 ke atas Atletico semalam menyaksikan Reds mengungguli Kumpulan B dengan 12 mata maksimum, malah mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 25 perlawanan (semua kejohanan).
Biarpun Atletico menamatkan perlawanan dengan 10 pemain di Anfield, namun Liverpool menguasai permainan dan mendahului 2-0 sebelum bek tengan lawan, Felipe dibuang padang kerana mengasari Sadio Mane di minit ke-39.
Owen percaya, hanya beberapa kelab mampu menyekat Reds ketika ini iaitu penyandang juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City dan juara Eropah, Chelsea.
“Bahaya terbesar Liverpool mungkin Manchester City dan Chelsea. Faktor Anfield akan memberi kelebihan kepada mereka. Kalau anda menentang Liverpool di Anfield di peringkat kedua, selamat maju jaya!,” kata bekas penyerang Liverpool, Real Madrid dan Manchester United itu kepada BT Sport.
Liverpool pasukan England paling berjaya dalam saingan Eropah dengan memiliki enam kejuaraan.
Trofi terakhir hadir pada 2019 selepas mengalahkan Tottenham di final, malah mereka mara ke perlawanan akhir 2018.
Semalam, jaringan Diogo Jota pada minit ke-13 dan gol Mane di minit ke-21 memastikan Reds melangkah ke peringkat 16 akhir.
Owen berkata, ketika kelab Sepanyol dan Itali mengalami kemerosotan prestasi, dia menjangkakan wakil England akan menguasai pentas Eropah seperti musim lalu, di mana Chelsea menewaskan City di final.
“(Lionel) Messi pergi ke liga lebih lemah (Perancis, Paris Saint-Germain). Kehadiran Cristiano Ronaldo (Manchester United) dan Romelu Lukaku (Chelsea) menjadikan Liga Perdana Inggeris semakin kuat,” katanya. – AGENSI