LIVERPOOL: Liverpool menguasai permainan ketika menumpaskan Atletico Madrid 2-0 untuk mengesahkan tiket ke pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Berdepan 10 pemain lawan, Reds mencipta rekod dengan mengharungi 25 perlawanan (semua kejohanan) tanpa kalah untuk mara ke peringkat kalah mati ketika saingan Kumpulan B berbaki dua perlawanan.
Gol dalam tempoh 21 minit pertama menerusi Diogo Jota dan Sadio Mane memberi kesukaran buat Atletico di Anfield.
Keadaan bertambah malang buat juara Sepanyol itu apabila bek tengah, Felipe dibuang padang kerana melakukan kekasaran terhadap Mane.
Mengutip 12 mata maksimum daripada empat perlawanan memastikan Liverpool menjuarai Kumpulan B dan mengesahkan tiket awal ke peringkat 16 akhir.
Empat kemenangan dalam ‘kumpulan maut’ yang turut disertai Porto dan AC Milan juga memberi amaran juara 2019 itu kini bangkit sebagai antara pencabar utama kejuaraan musim ini.
“Anda akan meraih wang yang banyak jika menjuarai Liga Juara-Juara.
“Sasaran pertama ialah mara dari kumpulan ini dan kami berjaya melakukannya ketika masih berbaki dua perlawanan.
“Saingan peringkat kumpulan yang menakjubkan setakat ini, saya tidak menjangkakan perkara seperti ini apabila melihat undian.
“Untuk malam ini tugas selesai tapi kita semua tahu ada dua lagi perlawanan dan kami akan cuba apa sahaja untuk memenanginya,” kata Klopp.
Atletico pula perlu bertarung sengit untuk mara ke peringkat kalah mati apabila berkedudukan ketiga, satu mata di belakang Porto. – AGENSI