Liverpool ibarat ‘harimau luka’ - Utusan Malaysia

Liverpool ibarat ‘harimau luka’

PEMAIN Liverpool menjalani latihan akhir semalam menjelang pertemuan menentang Arsenal hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kalah 2-3 kepada West Ham pada 8 November lalu menyebabkan Liverpool ibarat ‘harimau luka’ apabila menentang Arsenal, yang dalam mood terbaik selepas menang empat perlawanan terakhir berturut-turut (semua kejohanan) hari ini.

Kekalahan pertama musim ini menyebabkan Reds jatuh ke kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris, empat mata di belakang pendahulu, Chelsea.

Bekas pengurus Liverpool, Graeme Sounes menjangkakan Arsenal perlu berhati-hati apabila berkunjung ke Anfield kerana Reds mahu menggunakan perlawanan itu sebagai pentas kebangkitan.

“Saya fikir, Liverpool akan menjadi pasukan yang ‘sangat marah’ selepas kekalahan ter­akhir. Saya menjangkakan kebangkitan hebat Reds.

“Bagaimanapun Arsenal pa­sukan yang lambat panas. Suram di awal musim, mereka tampak yakin ketika ini.

“Gunners amat bahaya dalam situasi bola mati, tidak mustahil mereka mampu mencabar liga,” kata Sounes.

SADIO MANE

MANE SEDIA BERAKSI

Kebimbangan penyokong Liverpool terhadap kecederaan rusuk Sadio Mane ketika beraksi bersama Senegal dalam kelayakan Piala Dunia 2022 sedikit reda selepas Klopp mengesahkan penyerang itu ‘baik-baik’.

Mane, 29, bakal membentuk kombinasi serangan bersama Mohamed Salah dan Diogo Jota, manakala Reds dijangka menggunakan formasi biasa 4-3-3.

“Sadio masih rasa sedikit sakit tapi keadaannya baik.

“Semua yang pernah lebam di rusuk tahu bagaimana ke­adaan itu sangat menjengkelkan, tapi dia sudah berlatih ­seperti biasa dan semuanya okey,” kata Klopp.

Reds bagaimanapun masih ­belum dapat menggunakan Naby Keita dan James Milner, manakala Kostas Tsimikas mungkin mengisi posisi bek kiri ekoran kecederaan Andrew Robertson ketika beraksi buat Scotland.

ROWE KETEPIKAN SALAH

Ketika kebanyakan tumpuan diberikan kepada Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang yang akan menge­tuai jentera serangan Arsenal, pemain berusia 21 tahun, Emile Smith Rowe dijangka menjadi ‘bintang’ di Anfield hari ini.

Pemain sayap kiri England itu antara dua tonggak Arsenal yang berada dalam kelompok lima ­terbaik Ranking Power Sky Sport bersama penjaga gol, Aaron Ramsdale selepas meledak enam gol musim ini, iaitu tiga berturut-turut.

Dianggap Cesc Fabregas (le­genda Arsenal) dalam pembikinan, dia menghuni ranking ke­dua Sky Sport dengan 8,663 mata berada di belakang Reece James (Chelsea) dengan 9,526 mata.
Salah di tempat ketiga (8,024), diikuti Pablo Fornals (West Ham) dan Ramsdale.

Ranking Power Sky Sport diberikan kepada 35 pemain terbaik Liga Perdana berdasarkan mata yang dipu­ngut hasil jumlah gol, bantuan jaringan, hadangan dan pertahanan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya