LONDON: Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berehat untuk aksi antarabangsa sekali lagi membawa perkhabaran ‘ngeri’ buat Liverpool selepas menerima perkhabaran kapten mereka, Jordan Henderson mengalami kecederaan.
Sudahpun dibayangi isu kecederaan ramai tonggak sebelum liga berehat, masalah yang dialami bintang tengah England itu menjadi isu terbaru yang meresahkan Jurgen Klopp.
Ketika situasi sebenar penyerang Senegal, Sadio Mane juga masih tidak menentu, satu lagi kecederaan ibarat ‘malapetaka’ buat Reds.
Henderson, 31, tidak dibawa untuk kelayakan Piala Dunia 2022 menentang San Marino semalam selepas meledak satu gol ketika Three Lions membelasah Albania 5-0 dalam aksi Kumpulan I, Sabtu lalu.
Reds sudahpun kehilangan penyerang Brazil, Roberto Firmino akibat kecederaan hamstring, selain Joe Gomez, Curtis Jones (betis), Naby Keita, James Milner (hamstring) dan Harvey Elliot (buku lali).
Sebaik sahaja liga bersambung, mereka akan berdepan pasukan sedang meningkat, Arsenal di Anfield, Sabtu ini.
“Hendo (Henderson) pulang awal ke Liverpool untuk membolehkannya menjalani proses penilaian dan pemantauan, harap situasinya tidak begitu serius,” kata Klopp. – AGENSI