Litar Mandalika siap terima tetamu antarabangsa - Utusan Malaysia

Litar Mandalika siap terima tetamu antarabangsa

PRESIDEN Joko Widodo (kiri) menunggang motosikal sebagai simbolik merasmikan Litar Antarabangsa Mandalika yang akan menganjurkan perlumbaan pertamanya, Kejuaraan Superbike Dunia minggu depan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOMBOK, Indonesia: Penantian untuk memiliki litar lumba bertaraf antarabangsa akhirnya tercapai selepas Presiden Indonesia, Joko Widodo merasmikan Litar Antarabangsa Mandalika sebelum digunakan untuk perlumbaan penutup tirai Kejua­raan Superbike Dunia (WSBK) minggu depan.

Dalam upacara perasmian tersebut, pemimpin No. 1 negara republik itu secara simbolik menunggang motosikal klasik jenis Kawasaki W175 milik peri­badi mengelilingi litar jalan raya sejauh 4.3 kilometer itu sambil diiringi pelumba tempatan.

Presiden yang lebih mesra dengan gelaran Jokowi itu berkata, litar tersebut sudah bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan kejohanan perlumbaan bertaraf antarabangsa seperti WSBK selain menerima kehadiran pelancong berskala besar.

“Ini adalah kali pertama saya menunggang motosikal di litar lumba dan saya cukup bersemangat untuk merasmikan Litar Antarabangsa Mandalika meskipun cuaca tidak begitu baik selepas hujan renyai.

“Bagi saya, ini adalah pe­ngalaman yang cukup unik dan ternyata litar ini sangat sukar kerana selekohnya agak tajam dengan 17 selekoh secara keseluruhan. Namun, saya pasti ia akan memberi cabaran tersendiri buat pelumba profesional.

“Apa yang penting, litar ini sudah selamat untuk digunakan dan bersedia untuk me­nganjurkan perlumbaan perlumbaan pertama pada kejohanan WSBK yang dilangsungkan minggu depan. Saya positif ia akan memberi impak besar buat ekonomi tempatan khususnya di sekitar kepulauan Lombok,” katanya.

Litar Antarabangsa Mandalika juga akan menganjurkan Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan, sekali gus menyaksikan kepula­ngan semula saingan berprestij itu di Indonesia sejak kali terakhir dianjurkan pada edisi 1997 di Litar Sentul, Jakarta. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya