PETALING JAYA: Kecederaan yang dialami Lee Zii Jia ketika beraksi di Jerman, dua minggu lalu semakin pulih dan jaguh perseorangan negara itu tetap disenaraikan untuk beraksi dalam Indonesia Masters yang bermula di Bali esok.
Lee Zii Jia, 23, mencemaskan peminat badminton negara apabila menarik diri dalam final Terbuka Hylo di Saarbrucken ketika sedang ketinggalan 21-19, 13-21, 12-17 kepada pemain Singapura, Loh Kean Yew.
Ramai pemerhati badminton menasihatkan pemain No. 7 dunia itu agar mengambil rehat selepas dilihat kepenatan dan mengalami kecederaan belakang setelah mengharungi lima kejohanan berturut-turut dalam tempoh tujuh minggu.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, mereka sentiasa memantau keadaan juara All England itu, namun buat masa ini namanya tidak dikeluarkan daripada kejohanan yang menawarkan AS$600,000 (RM2.5 juta).
“Kecederaannya tidak serius dan dia masih dalam proses pemulihan.
“Kami harap dia dapat beraksi dalam salah satu kejohanan di Indonesia, kalau bukan Masters, mungkin di Terbuka Indonesia (23-28 November).
“Buat masa ini Zii Jia selesa dan tidak memerlukan dia menarik diri, namun keputusan sama ada perlu (berehat daripada Indonesia Masters) akan diputuskan pada hari kejohanan,” kata Kenny.
Menurut Kenny, antara syarat untuk melayakkan Zii Jia beraksi dalam Siri Super Akhir adalah dia mesti bertanding dalam salah satu daripada dua kejohanan di Indonesia sama ada Masters atau Terbuka yang turut berlangsung di Bali.
Sekiranya beraksi, Zii Jia akan membuka kempen dengan menentang pemain Denmark, Rasmus Gemke.
Siri Super Akhir yang menawarkan AS$1.5 juta (RM6.23 juta) turut berlangsung di Bali dari 1-5 Disember depan.