IPOH: Kesabaran pemain Perak dalam isu tunggakan gaji sudah tidak terbendung lagi.
Kegagalan pasukan melunaskan tiga bulan gaji mendorong mereka mengemukakan aduan kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dalam usaha menyelesaikan kemelut dihadapi.
Ketua pasukan, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy berkata, setelah berbincang dengan rakan-rakan, mereka membuat keputusan untuk mengadu nasib kepada PFAM.
“Kami faham masalah dihadapi Perak tetapi adakah Perak FC faham masalah dan kerumitan yang kami hadapi selama berbulan-bulan?
“Selepas berbincang semua pemain bersetuju merujuk masalah tunggakan gaji kepada PFAM,” kata Hafizul kepada Utusan Malaysia semalam.
Hafizul berkata, kemelut itu sudah terlalu lama mencengkam menyebabkan pemain tidak boleh bersabar lagi.
“Kami sudah terlalu lama bersabar tentang isu gaji ini. Kini kami sudah tidak boleh bersabar lagi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, PFAM mengambil tindakan pantas apabila menghantar emel kepada Perak FC, semalam.
Surat yang ditandatangani Eksekutif Perundangan PFAM, Azzairi Rosle ditujukan kepada ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC.
PFAM meminta Perak membayar tuntutan dalam tempoh 10 hari sehingga 28 November untuk membayar tunggakan itu.
Kegagalan Perak FC berbuat demikian akan menyebabkan mereka diheret ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sekali gus berdepan hukuman berat.