PETALING JAYA: Belumpun beraksi dalam saingan Liga Super mahupun Liga Perdana, namun Kerteh FC yang kini bersaing di Liga M4 (amatur) telah mengatur langkah langkah bagi membina sebuah kelab yang mampu menjana pendapatan sendiri.
Bagi menambah pendapatan, Kerteh FC menjalin kerjasama dengan syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) Yacob Tahir Enterprise Sdn. Bhd. semalam melancarkan beras Premium Super Import Cap Buah-Buahan sebagai salah satu produk baharu kelab.
Presiden Kerteh FC, Mohd. Razeman Mat Nashim berkata, kerjasama Kerteh FC yang terkenal dengan julukan The Oilers mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, termasuk mengembangkan lagi jenama perniagaan masing-masing.
“Memanfaatkan pemasaran melalui medium sukan bola sepak kini menjadi satu trend baharu kepada industri IKS dalam negara. Kami percaya hubungan keusahawanan dan perniagaan dalam industri sukan dapat membuka laluan yang lebih luas kepada mana-mana IKS untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.
“Harapan kami kerjasama ini mampu melonjakkan lagi prestasi kedua-dua syarikat dengan logo kelab Kerteh FC akan diletakkan pada plastik beras dan kenderaan syarikat bagi memperkenalkan lagi jenama masing-masing untuk tujuan komersial.
“Selain itu, logo beras jenama buah-buahan pula akan diletakkan pada bahagian lengan jersi utama kelab sebagai tanda penghargaan kepada syarikat.
“Buat permulaan kita akan mengeluarkan beras seberat lima kilogram terlebih dahulu dengan pasaran sekitar Terengganu dan Kelantan,” katanya selepas majlis pelancaran beras berkenaan di pejabat Kerteh FC, di Kemaman semalam.