KIEV: Ansu Fati mendedikasikan kemenangan Barcelona buat Sergio Aguero yang tidak bersama pasukan kerana masalah kesihatan ketika menang 1-0 ke atas Dynamo Kiev dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Ini kemenangan pertama kelab Catalan itu di tempat lawan musim ini (semua pertandingan), sekali gus melonjak ke tangga kedua Kumpulan E.
Bayern Munich yang sudahpun layak ke peringkat seterusnya kekal mendahului kumpulan dengan mengatasi Benfica 5-2.
“Gol ini untuk Kun (Aguero). Kemenangan ini untuk dia. Ini dedikasi saya kepadanya.
“Kami akan terus berjuang dan bergantung pada diri sendiri. Kami akan lakukan segalanya. Kami tahu ini minggu penting,” katanya menjelang kunjungan ke Celta Vigo dalam saingan La Liga Ahad ini.
Pengurus sementara Barcelona, Sergi Barjuan melakukan tiga perubahan berbanding ketika seri 1-1 dengan Alaves, di mana Fati menggantikan Aguero.
Fati meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-70, untuk memberi kemenangan kedua mereka ke atas Atalanta, musim ini.
Penyerang Argentina, Aguero dijangka tidak diturunkan untuk sekurang-kurangnya tiga bulan bagi menjalani rawatan jantung yang masih perlu diberi perhatian. – AGENSI