KOTA BHARU: Kelantan FC masih gagal mencari kemenangan pertama dalam kempen Piala Malaysia selepas seri tanpa jaringan dengan Petaling Jaya City (PJ City) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Keciciran mata menyebabkan The Red Warriors (TRW) sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan D dengan dua mata, 10 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).
PJ City mengekori di tangga kedua dengan lima mata, manakala Sabah yang kalah 0-3 kepada JDT di tangga tercorot.
Dalam perlawanan itu, Syed Sobri Syed Mohd. terlepas peluang terbaik meletakkan Kelantan FC di depan apabila rembatan derasnya pada minit ke-18 tersasar dari gawang gol pelawat.
Minit ke-27, giliran PJ City pula menguji gawang tuan rumah menerusi rembatan kencang dari R. Kogeleswaran yang berjaya diselamatkan Faridzuen Kamarudin.
Faridzuen terus menjadi penyelamat Kelantan FC apabila berjaya mengagalkan percubaan bahaya yang dilakukan K. Prabakaran pada minit ke-43.
Dominasi pelawat berterusan selepas itu, namun benteng Kelantan FC kental bertahan sehingga tamat babak pertama.
Babak kedua, Kelantan FC menampilkan aksi berbeza apabila kerap dilihat mengancam kubu pelawat sehingga memaksa benteng pertahanan lawan bekerja lebih keras.
Peluang terbaik Kelantan FC memecah kebuntuan jaringan hadir pada minit ke-71 menerusi sepakan percuma Christos Intzidis yang berjaya ditepis keluar oleh penjaga gawang pelawat Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Selepas itu, giliran PJ City cuba bangkit dengan melakukan beberapa percubaan menarik, namun berjaya dipatahkan oleh benteng pertahanan Kelantan FC.
Keputusan itu kekal hingga wisel panjang tiup oleh pengadil bertugas menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.