ALOR SETAR: Ketika Kedah dalam persiapan menghadapi cabaran getir Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir Piala Malaysia, Ahad ini, mereka sekali lagi dipalit isu tunggakan gaji.
Pasukan itu didakwa gagal melunaskan dua bulan gaji pemain yang dikhuatiri akan menjatuhkan moral mereka menjelang pertemuan dengan JDT.
Bukan itu saja, bonus kemenangan yang dijanjikan juga tidak dibayar beberapa bulan hingga mencecah 12 perlawanan.
Sumber dalaman memberitahu Utusan Malaysia, isu yang membelenggu pasukan itu menyebabkan mereka gagal menampilkan aksi terbaik dalam dua perlawanan terakhir Kumpulan C menentang Kelantan United dan Melaka United.
“Susah nak cakap pasal benda ini tapi dalam keadaan pemain sudah memberi yang terbaik hingga berjaya mencapai kedudukan kedua Liga Super, sudah tentulah mereka mengharapkan isu gaji tidak berlarutan selain hubungan yang baik bersama pihak pengurusan.
“Tetapi kini lain pula jadinya kerana gaji tertunggak dan bonus kemenangan pun tidak dibayar,” katanya semalam.
Jika pasukan lain menerima bonus mencecah ribuan ringgit, difahamkan pemain Kedah hanya diberi RM500 seorang.
Sumber itu memaklumkan, rata-rata pemain juga ketika ini kecewa kerana tiada dalam kalangan pihak pengurusan datang bertemu mereka bagi membincangkan perkara itu.
Malah seorang pemain yang hendak ditemu bual juga dalam nada sinis turut bertanya kembali kepada Utusan Malaysia sama ada dia boleh menyatakan perkara sebenar yang berlaku.
Dalam pada itu Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika ditemui memaklumkan, setakat ini beliau tidak mempunyai maklumat berhubung perkara itu.
“Perkara itu kena tanya pengurusan KDA FC. Saya harap tak adalah jadi begitu dan kalau ada, mereka kena usaha untuk bayar,” katanya.