ALOR SETAR: Pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akhirnya mendapat tonik terbaik untuk berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir Piala Malaysia esok apabila pihak pengurusan melangsaikan tunggakan gaji dua bulan.
Sumber dalaman pasukan memaklumkan, pembayaran gaji tersebut dibuat pihak pengurusan pada petang semalam dan malam tadi.
Menurutnya, perkembangan itu nyata melegakan ketika pemain amat memerlukan motivasi yang tinggi bagi berdepan JDT pada suku akhir Piala Malaysia.
“Ini sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh para pemain ketika mereka sebelum ini masing-masing seakan tertanya-tanya mengenai gaji masing-masing.
“Diharap langkah tersebut sedikit sebanyak mampu menambah motivasi pemain bagi memberikan yang terbaik malam esok,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu tonggak pertahanan Kedah, Rodney Celvin ketika mengulas mengenai aksi bertemu JDT memaklumkan, kalangan pemain Kedah perlu memiliki disiplin tinggi sekiranya mereka berhasrat mahu membawa bekal kemenangan dalam perlawanan suku akhir pertama itu nanti.
“Pasukan JDT, mereka ada pemain terbaik bermula dari penjaga gol hinggalah ke penyerang. Jadi kami perlu berwaspada dengan setiap gerakan dilakukan mereka dan perlu memberi lebih fokus terhadap semua aspek.
“Walau siapa saja yang dimasukkan, mereka tetap bermain dengan baik. Perlawanan ini mungkin agak ‘berat’ tetapi tiada apa yang mustahil dan akan cuba sedaya upaya untuk mencari gol dalam perlawanan itu nanti,” katanya.
Sementara itu Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak pula dilihat memiliki aturan tersendiri bagi berdepan JDT.
Beliau yang selama ini sangat mesra media bagaimanapun enggan ditemu bual bagi mengulas mengenai persiapan berdepan jaguh dari selatan tersebut.