JOHOR BAHRU: Lapan pemain import dan naturalisasi yang diturunkan Johor Darul Ta’zim (JDT) membezakan pasukan itu dengan Kedah dalam suku akhir Piala Malaysia kelmarin.
Pengendali skuad Hijau Kuning, Aidil Sharin Sahak berkata, nasib pasukannya yang tewas tipis 0-1 kepada juara bertahan itu di suku akhir kedua pasti berbeza jika mereka juga memiliki ramai import.
Beliau berbangga dengan aksi ‘sehabis baik’ yang ditunjukkan pasukannya yang sebelum itu mengikat Harimau Selatan 0-0 dalam suku akhir pertama minggu lalu.
“Kami bukan seperti JDT, Selangor dan Terengganu FC yang mempunyai pasukan kedua dan 50 pemain yang boleh dipilih, malah kami tidak mempunyai pemain import di bangku simpanan.
“Kalau saya ada semua ini, perlawanan malam ini pasti berbeza. Dalam dua pertemuan ini (menentang JDT), kita sudah buktikan dengan hanya dua ke tiga import mampu menyaingi mereka.
“Untuk bermain dan menang ke atas JDT, sekurang-kurangnya kena ada lima import dalam pasukan. Itu yang kami tidak ada dan itulah yang membezakan antara kedua-dua pasukan,” katanya selepas aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kelmarin.
Pengendali kelahiran Singapura itu turut memuji dua penyerang importnya, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre yang berkeras untuk diturunkan biarpun tidak cergas.
“Ramai tak tahu bahawa mereka ini bukanlah cergas sepenuhnya namun sedia diturunkan bagi membantu pasukan menghidupkan peluang untuk melangkah ke pusingan seterusnya.
“Tahap kecergasan Kipre sekitar 60 peratus sahaja kerana kecederaan lutut, manakala Sherman sakit sejak tiga hari yang lalu dan tidak menjalani latihan penuh,” ujarnya.
Pujian sama turut diberikan kepada penjaga gawang, Shahril Sa’ari yang mengelak gawang mereka dibolosi lebih banyak gol setelah diasak bertubi-tubi oleh jentera serangan JDT.